Pembentukan Komuniti Keselamatan Serantau Untuk Kestabilan di Rantau Asia-Pasifik
Pengenalan
Berakhir Perang Dingin yang membahagikan dunia kepada Timur dan Barat telah menyaksikan politik dunia atau hubungan antarabangsa memerlukan satu penelitian baru termasuk dalam soal-soal keselamatan berikutan kemunculan wilayah yang multipolar. Tidak terkecuali juga dalam perdebatan ahli-ahli sarjana sains sosial bagi menentukan model keselamatan yang terbaik bagi rantau Asia-Pasifik dengan andaian bahawa keamanan di rantau ini boleh dicapai menerusi model yang sama seperti dilaksanakan di Eropah. Di kalangan sarjana khususnya dari Barat seperti Friedberg (1993) yang meramalkan rantau ini begitu terdedah kepada konflik bersenjata berikutan ketiadaan keseimbangan kuasa yang bersandar kepada teori realis. Ia menganggap selepas pengunduran Amerika Syarikat dari rantau Asia-Pasifik menyebabkan berlakunya persaingan antara negara-negara serantau yang ingin menjadi kuasa utama di wilayah ini. Dengan demikian, penulisan ini akan mendalami sama ada ramalan yang dibuat oleh Friedberg itu tepat dan adakah pendekatan teori realis dapat digunapakai di rantau ini serta meneliti apakah teori politik antarabangsa yang mendasari pembentukan komuniti keselamatan di Asia-Pasifik. Penilaian mengenai komuniti keselamatan di
Asia-Pasifik menggunakan aliran teori konstruktivis yang dianggap lebih tepat menjelaskan situasi keselamatan di rantau ini terutama dengan kejayaan ASEAN mengekalkan keamanan Asia Tenggara dengan menggunakan pendekatan konstruktivis.
Latar Belakang Dan Pelbagai Perspektif Kestabilan Asia-Pasifik
Isu keselamatan Asia telah disentuh oleh Friedberg (1993) yang mengisi ruang perbincangan mengenai keselamatan di rantau Asia-Pasifik menjelaskan bahawa, rantau ini terdedah kepada bahaya konflik ekoran persaingan antara negara-negara serantau ekoran tiadanya mekanisme peningkatan kestabilan seperti yang terdapat di Eropah dan juga kurangnya intergrasi ekonomi yang tinggi dan institusi serantau yang mampu mengurang serta menguruskan konflik. Kewujudan China pula menyebabkan negara-negara serantau cuba untuk mengimbangi kebangkitan negara tersebut dari segi ketenteraan, ekonomi dan lain-lain aspek berkaitan. Ini berkaitan dengan trend semasa di dalam politik dunia yang menyaksikan lebih banyak subsistem wilayah yang muncul. Berakhirnya persaingan dua kuasa besar iaitu Soviet Union dan Amerika Syarikat, corak tradisional membabitkan interaksi strategik pakatan serantau akan kembali menguasai arena hubungan antarabangsa. Tidak terkecuali, rantau Asia-Pasifik dijangka menjadi medan kepada konflik kuasa besar.
“In Asia, by contrast, many of these same soothing forces are either absent or of dubious strength and permanence. While civil wars and ethnic strife will continue for some time to smolder along Europe’s peripheries, in the long run it is Asia that seems far more likely to be the cockpit of great power conflict” (Friedberg, 1993: 7).
Friedberg menjadikan pengalaman Eropah sebelum 1945 ketika berlakunya banyak konflik kerana faktor multipolar dijadikan landasan utama dalam menjangka kestabilan rantau Asia termasuk Asia-Pasifik pada masa hadapan. Beliau mengemukakan dua andaian mengenai perkara tersebut iaitu pada peringkat struktur, pembahagian kuasa di kalangan banyak negara tidak akan kekal sebagai faktor yang membawa keamanan kerana apabila berlaku anjakan pembahagian kuasa di kalangan negara-negara, peperangan cenderung untuk berlaku.
Dengan kata lain, keseimbangan kuasa yang wujud tidak kekal atau tidak dapat diseimbangkan dengan cepat untuk mencegah negara yang agresif. Faktor lain yang dikemukakan adalah struktur multipolar yang kompleks sehingga melambatkan keseimbangan kuasa yang berkesan. Berikutan sistem yang begitu kompleks, Friedberg menjelaskan bahawa perkara tersebut bakal mengundang bahaya kerana salah perkiraan kepada kedua-dua belah pihak iaitu yang mencetuskan konflik dan pihak mangsa. Walaupun dijelaskan secara ringkas, salah perkiraan ini akan menyebabkan peperangan berlaku.
Dengan menggunakan sejarah Eropah, negara-negara Asia dilihat sedang menuju ke arah demokrasi, kemakmuran, persamaan sosio-ekonomi dan mempunyai budaya politik pasca-nasionalis serta masih berada pada peringkat permulaan. Pada satu masa nanti, dijangka, rantau Asia akan mempunyai kepelbagaian kerajaan dan bentuk masyarakat. Pada masa sekarang, dua daripada empat kuasa besar Asia adalah kerajaan demokratik iaitu Jepun dan India manakala China masih lagi mengamalkan sosialisme dan Russia. Kuasa-kuasa yang kurang berkuasa pula terdiri daripada Australia dan New Zealand yang mengamalkan demokrasi liberal seperti Eropah. Terdapat juga regim-regim totalitarian seperti Myanmar, Korea Utara dan Vietnam serta wujudnya negara-negara yang demokrasinya masih belum matang atau merupakan kombinasi demokratik dan autoritarian seperti Filipina, Malaysia, Singapura, Taiwan dan Pakistan. Dengan ini, seperti apa yang telah terjadi di Eropah, interaksi-interaksi akan berlaku antara kerajaan demokratik dan bukan demokratik serta antara kuasa besar, sederhana dan kecil.
Selain itu, rantau ini juga mempamerkan variasi yang pelbagai dari segi pendapatan per kapita dan ekonomi. Kebanyakan negara-negara di Asia-Pasifik berkongsi dua ciri utama iaitu ketidaksamarataan ekonomi yang rendah di kalangan penduduknya dan pertumbuhan ekonomi keseluruhan yang tinggi. Ketiadaan jurang ekonomi yang ketara menghalang negara-negara terbabit untuk melaksanakan dasar luar yang boleh membawa kepada peperangan seperti berlaku di Eropah.
“On the other hand, rapid national economic growth, and the shared feelings of power and entitlement that tend to go with it, may be at least as important a cause of expansionism as the efforts of embattled elites to maintain their domestic power. As Samuel Huntington suggested: The external expansion of the UK and France, Germany and Japan, the Soviet Union and the United States coincided with phases of intense industrialization and economic development” (Friedberg, 1993: 16).
Dalam konteks ini, ia merujuk kepada China yang mengalami kepesatan ekonomi bermula 1970-an hingga 1998 dengan mencatatkan kenaikan ekonomi empat kali ganda dan dijangka terus mendahului negara-negara lain. Dan jika jangkaan tersebut adalah tepat maka, kestabilan Asia diramalkan menghadapi masalah keamanan dengan ancaman China tersebut. Selain itu, soal nasionalisme dan identiti kebangsaan juga akan menyumbang kepada pertelingkahan dan perpecahan seperti mana yang berlaku di bahagian timur dan selatan Eropah. Kesan seperti itu juga boleh berlaku di Asia. Pemisahan etnik dan agama telah berlaku di India dan di Asia Tengah yang rata-ratanya republik Islam berkemungkinan membangkitkan sentimen co-religionist di barat China. Tuntutan kawasan juga masih berlaku di rantau ini dan membabitkan kuasa besar dan juga kecil yang dibimbangi menetuskan konflik seperti Jepun dan Russia, China-Russia, China-India, Jepun-China, Jepun-Korea Selatan, China-Taiwan, Laos-China, Myanmar-China, India-Pakistan, Kemboja-Vietnam, China-Vietnam dan tuntutan bertindih terhadap Kepulauan Spratly membabitkan Filipina, Malaysia, Vietnam, China dan Taiwan.
Friedberg juga melihat kepada rangkaian dan kerjasama perdagangan antara negara-negara Asia-Pasifik yang disifatkan masih rendah dengan jaringan perdagangan yang masih belum dibangunkan sepenuhnya, asas pengukuhan yang masih kabur dan bakal menjadi penghalang kepada pertumbuhan yang lebih pesat. Jumlah dagangan intra-Asia masih kecil berbanding jumlah dagangan keseluruhan negara di dalam wilayah ini jika dibandingkan dengan Eropah dan juga, Eropah mempunyai rangkaian kerjasama yang seterusnya dapat menyatukan wilayah tersebut sehingga semakin berkembang ke Eropah Timur. Di samping itu, negara-negara Asia yang paling maju pula seperti Korea Selatan, Singapura, Taiwan dan Hong Kong cenderung untuk meneroka pasaran luar untuk eksport dan melihat negara-negara serantau sebagai pesaing dalam sektor pembuatan.
Proses intergrasi Asia juga dikatakan lewat dimulakan dengan masa depan yang masih kabur. Halangan perdagangan di Amerika Utara dan Eropah melalui Kesatuan Eropah dan Kawasan Dagangan Bebas Amerika Utara, NAFTA tidak mencetuskan zon Asia sebagai satu pakatan ekonomi yang kukuh. Kewujudan rangkaian dagangan seperti ini menyukarkan tercetusnya konflik di kalangan negara-negara Eropah berbanding di Asia termasuk Asia-Pasifik.
“In the long run, the full development of regional economic ties will depend on the evolution of the political relationships among the major Asian powers. If these relationships turn sour and suspicious, the movement toward wider and deeper economic intergration will falter and could collapse” (Friedberg, 1993: 22).
Perkara lain yang dihujahkan oleh Friedberg adalah ketiadaan institusi serta mekanisme yang membantu mewujudkan keamanan seperti di Eropah. Usaha Amerika Syarikat dalam membentuk satu pakatan politik dan ketenteraan di Asia melalui SEATO menemui kegagalan. Rantau ini dianggap terlewat dalam menubuhkan institusi serantau. Pada 1989, Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik, APEC ditubuhkan berbanding di Eropah yang mana kerjasama sedemikian dibuat sejurus Perang Dunia Kedua antara Eropah Barat, Eropah dan Amerika Utara. Hujah seterusnya selain daripada faktor masa adalah ketiadaan budaya bersama dan semangat kekitaan di kalangan negara rantau ini jika dibandingkan dengan Eropah. Pemilikan dan pembangunan senjata nuklear yang tidak seimbang di wilayah ini juga membuka ruang kepada konflik mengikut pengkajian Friedberg. Dengan memberi contoh Russia dan China serta China dan India, pemilikan senjata nuklear menghalang konflik antara kuasa-kuasa Asia. Bagaimanapun, nuklear tidak dimiliki secara besar-besaran oleh negara lain.
Bagaimanapun, kajian ini yang membandingkan Eropah secara langsung tanpa mengambil kira beberapa faktor penting mengenai Asia terutamanya peranan China mendapat kritikan daripada sarjana lain seperti Acharya (2003) dan Kang (2003). Kang (2003) mengkritik Friedberg dengan mengatakan bahawa sekiranya China lemah di rantau ini akan membawa kepada konflik dengan mengambil kira faktor sejarah iaitu penerimaan negara itu sebagai teras di Asia serta aspek pengurusan ketidaksetabilan dan soal keselamatan melalui norma-norma serantau yang dikongsi bersama, peningkatan pergantungan ekonomi dan berkembangnya rangkaian institusi antara yang terabai di dalam kajian Friedberg.
Walaupun Kang menafikan bahawa negara-negara lain sedang mengimbangi China malah berlakunya bandwagoning, Acharya mengemukakan hujah beliau mengenai Asia Selatan yang dilihat mengimbangi China berdasarkan definisi aliran neo-realis. Kebangkitan kuasa India dan peranannya di dalam soal keselamatan Asia dapat dikesan melalui peningkatan hubungan dengan Myanmar untuk melakukan counter kepada pengaruh China di negara tersebut.
India dan Amerika Syarikat juga melakukan rondaan angkatan laut di Selat Melaka untuk mencegah lanun dan pengganas. Faktor ini dijadikan bukti bahawa berlaku usaha mengimbangkan kuasa China di Asia selain jemputan ASEAN kepada India menyertai Forum Serantau ASEAN, ARF. Perdebatan yang timbul antara pengkaji-pengkaji tersebut adalah berhubung faktor kuasa Asia iaitu China terutama masalah bandwagoning yang diinterpretasikan secara berbeza oleh ahli-ahli sarjana. Hujah yang dikemukakan Acharya adalah petunjuk bahawa berlakunya bandwagoning adalah keputusan negara-negara untuk bersekutu dari aspek ketenteraan tetapi ia tidak berlaku secara meluas kecuali bagi Korea Utara dan Myanmar.
Kajian mengenai persoalan China sebagai kuasa yang perlu dihadkan dikemukakan oleh Segal (1996) yang menyatakan jika China dianggap perlu diseimbangkan untuk mengekalkan keamanan maka, ia perlu dilakukan secara bersama oleh negara-negara di rantau ini. Beliau mengemukakan contoh-contoh yang menunjukkan bahawa China akan bersikap sederhana apabila menghadapi tekanan bersama kuasa-kuasa luar. Manakala, polisi yang sama dikenakan terhadap Soviet Union juga perlu diamalkan kepada China oleh kuasa-kuasa dunia dan khususnya negara-negara ASEAN.
Acharya (2003) pula menolak sama sekali bahawa rantau Asia dan Asia-Pasifik adalah arena yang terdedah kepada konflik yang dibuat berdasarkan sejarah Eropah. Ini kerana pergantungan yang semakin meningkat sebagai satu kuasa ke arah kestabilan terutama rantau Asia Tenggara yang mempunyai hubungan ekonomi yang agak kukuh dengan Amerika Syarikat, China dan Jepun walaupun Segal (1996) berpendapat bahawa China tidak boleh dibataskan melalui ekonomi yang saling bergantungan.
Dengan demikian kajian ini mengemukakan beberapa faktor dan cuba menjawab persoalan yang penting dalam meramal serta merumuskan model alternatif keselamatan yang terbaik bagi Asia-Pasifik khususnya dan benua Asia amnya. Dan paling penting, model tersebut tidak menggunakan kerangka realis seperti yang diamalkan oleh kuasa-kuasa besar di Barat.
Perbincangan di atas telah memberikan gambaran mengenai isu-isu membabitkan keselamatan di rantau Asia-Pasifik dan bagaimana persepsi mengenai wilayah ini yang masih belum jelas terutama bagi sarjana Eropah dan Barat terutamanya pasca-Perang Dingin yang membawa anjakan dari segi teoritikal dan memerlukan penilaian semula dibuat terhadap bukan sahaja Asia malah seluruh dunia.
Model Keselamatan Alternatif Untuk Asia-Pasifik
Setelah membincangkan beberapa persoalan utama mengenai keselamatan Asia-Pasifik dan melihat perspektif terutama sarjana aliran neorealis serta neoliberal yang membuat perbandingan Asia dan Eropah, cadangan mereka adalah penubuhan satu institusi yang berperanan seperti NATO di samping mewujudkan keseimbangan kuasa untuk mengurangkan risiko konflik membabitkan China berikutan fahaman politik yang berbeza. Bagaimanapun, dalam mencari satu model alternatif kepada Asia-Pasifik, Acharya (2001) mengemukakan satu konsep yang begitu relevan dan bersesuaian untuk komuniti Asia-Pasifik yang menggunakan teori politik antarabangsa, konstruktivis. Security community atau komuniti keselamatan dianggap sebagai model keselamatan terbaik dalam mencegah konflik dan mengekalkan keamanan di wilayah ini.
Terdapat beberapa definisi bagi menjelaskan konsep komuniti keselamatan ini. Antaranya ia dimaksudkan satu kumpulan yang telah berintergrasi dari segi persamaan kesedaran komuniti diikuti oleh institusi atau amalan formal atau tidak formal yang berkembang dalam memastikan keamanan di kalangan ahli-ahli kumpulan itu dengan kepastian dan dalam jangka masa yang panjang. Komuniti-komuniti itu juga boleh bersatu melalui penggabungan politik unit-unit yang menyertainya dan ahli-ahli tersebut mengekalkan kedaulatan dan kemerdekaannya.
Pengertian lain yang lebih pluralistik di kalangan negara-negara berdaulat adalah wilayah transnasional yang mengandungi negara-negara berdaulat yang mana rakyatnya mengekalkan pergantungan kepada suasana aman. Komuniti sedemikian boleh dikenalpasti melalui beberapa ciri tetapi yang paling adalah dua iaitu tidak berlakunya peperangan dan tiada persediaan yang signifikan untuk melancarkan peperangan terhadap ahli yang lain.
Komuniti keselamatan serantau pula sekumpulan negara yang mengumumkan untuk tidak menggunakan kekerasan sebagai jalan untuk menyelesaikan konflik-konflik intrawilayah. Tidak berlakunya peperangan pula tidak bermakna, negara-negara ini tidak mempunyai perbezaan, tuntutan bertindih atau konflik kepentingan di kalangan aktor-aktor. Ia juga memerlukan perbezaan dibuat daripada kerjasama keselamatan multilateral.
“Security communities are also marked by the absence of a competitive military build-up or arms race involving their members. Within a security community “war among the prospective partners comes to be considered as illegitimate” and “serious preparations for it no longer command popular support. States within a security community usually abstain from acquiring weapons that are primarily offensive in nature. Neither are they likely to engage in contingency planning and war-oriented resource mobilisation against other actors within the community” (Acharya, 2001: 17).
Antaranya adalah membezakan komuniti keselamatan dengan regim keselamatan. Regim keselamatan adalah sekumpulan negara bekerjasama untuk menguruskan tuntutan atau pertelingkahan dan mengelakkan peperangan dengan menutup ruang dilema keselamatan melalui tindakan dan persepsi mereka mengenai tingkah laku pihak yang lain. Komuniti keselamatan pula mestilah berdasarkan kepada fundamental dan kepentingan bersama di kalangan aktor-aktor berhubung mengelakkan peperangan. Komuniti keselamatan terbabit dalam hubungan keamanan dan kestabilan di kalangan sekumpulan negara tanpa ada perasaan bagaimana mereka mungkin secara kolektif berhubungan dengan aktor-aktor luar.
Juga penting untuk membezakan komuniti keselamatan dengan susunan keselamatan kolektif. Walaupun keduanya bersatu atas dasar perasaan kekitaan, perbezaan besar terletak pada cara-cara yang diambil untuk memastikan peperangan dielakkan. Sistem keselamatan kolektif yang biasanya bersifat multilateral berbanding komuniti keselamatan yang bersifat bilateral. Peperangan dielakkan melalui sistem keselamatan kolektif yang menggunakan ancaman untuk menghukum sebarang tindakan keganasan oleh satu ahlinya terhadap yang lain. Bagaimanapun, idea pencegahan peperangan mengikut komuniti keselamatan pula adalah melalui pembangunan dan amalan institusi yang kuat. Selain itu, keselamatan kolektif lebih cenderung kepada menghukum pihak bertindak ganas daripada menyediakan penyelesaian yang lebih pasifis kepada pertelingkahan.
Walaupun institusi keselamatan kolektif seperti PBB telah membangunkan mekanisme untuk penyelesaian lebih pasifis, kredibiliti keselamatan kolektif banyak bergantung kepada kewibawaan mekanisme hukumannya. Komuniti keselamatan pula sentiasa mencari jalan untuk memastikan pencegahan konflik melalui proses-proses yang intergratif dan resolusi konflik yang formal atau tidak formal. Seterusnya, penggunaan kekerasan langsung tidak mempunyai tempat di dalam pengurusan hubungan antara ahli di dalam komuniti keselamatan. Tetapi peperangan kekal sebagai instrumen yang sah di dalam sistem keselamatan kolektif.
Pembinaan komuniti keselamatan membabitkan pembangunan pemahaman yang dikongsi bersama mengenai pelaksanaan wilayah yang aman. Kepentingan-kepentingan yang dahulunya dicapai melalui peperangan ditukar melalui kaedah dan medium yang mementingkan keamanan.
“Recent writings on security communities have adopted a qualitative and sosiological approach, one which focuses on institutions, norms and the intersubjective process of identity building in the making of security communities” (Acharya, 2001: 21).
Seperti juga Kesatuan Eropah, ASEAN juga boleh dianggap sebagai institusi pembinaan komuniti keselamatan walaupun aliran neoliberal institusi mendakwa mengurangkan kesan anarki dan menyediakan ruang kerjasama dengan membekalkan maklumat, mengurangkan kos transaksi, membantu menyelesaikan konflik membabitkan pengagihan serta penipuan. Bagaimanapun, teori konstruktivis lebih tepat dalam menawarkan pandangan yang lebih mendalam bagaimana institusi dapat memberi kesan dan mengubah kepentingan dan tingkah laku negara-negara. Mengikut pandangan ini, institusi bukan hanya mengatur tingkah laku negara tetapi ia juga mampu membentuk kepentingan dan identiti negara-negara.
Menggunakan perspektif sosiologi untuk mengkaji pembangunan komuniti keselamatan pluralistik bermakna melihat lebih jauh dengan mengkaji bagaimana negara-negara meneruskan atau mencapai kepentingan mereka melalui langkah-langkah memaksimumkan utiliti dan mendalami ke tahap mana institusi serantau itu memberi kesan kepada pembangunan kepercayaan terutama melalui norma-norma tindakan; pembangunan budaya serantau berdasarkan nilai-nilai bersama; pembangunan projek-projek serantau untuk meningkatkan kepercayaan terhadap cita-cita bersama; dan pembangunan pembelajaran sosial melibatkan pendefinisian dan interpretasi semula dunia realiti, pertukaran kefahaman mengenai diri sendiri, persepsi terhadap realiti dan harapan normatif di kalangan kumpulan negara-negara. Dengan mendalami persoalan-persoalan sosiologi dan intersubjektif serta rangkaian yang sering kali diabaikan oleh para ahli teori rasionalis, pendekatan ini melihat melampaui batas-batas biasa sebuah institusi. Menggunakan pendekatan ini, maka penilaian lebih positif terhadap institusi dapat dibuat.
“For constructivist, just as power politics (which is viewed by realists as a given of international politics) is but socially constructed, cooperation among states is also to be understood as a social process that may redefine the interests of the actors in matters of war and peace. The habit of war avoidance found in security communities results from interactions, socialisation, norm setting and identity building, rather than from forces outside of these processes (such as distribution of power)” (Acharya, 2001: 3).
Bagi aspek norma pula, fungsi utamanya adalah membantu aktor-aktor untuk membezakan tingkah laku yang normal dan tidak normal, menyelaraskan jangkaan dan mengurangkan ketidakpastian, mempengaruhi pembuatan keputusan dan mengesahkan tindakan mereka dan juga tindakan yang lain memandangkan kesemua komuniti sosial bergantung kepada norma-norma tingkah laku. Norma-norma menyumbang kepada order antarabangsa dengan menghalang tingkah laku yang subversif dari segi matlamatnya serta menyediakan rangka kerja untuk penyelesaian tuntutan bertindih, mencipta asas untuk skim kerjasama dan tindakan yang menguntungkan semua pihak.
Pertimbangan soal identiti juga menjadi teras dalam pembentukan komuniti keselamatan. Bagi realisme dan teori liberal, kepentingan negara dibentuk oleh kuasa material seperti kekayaan dan kuasa. Bagaimanapun, bagi konstruktivis, faktor-faktor intersubjektif termasuk idea, budaya dan identiti menjadi penentu serta mempunyai peranan dalam interaksi dasar luar. Ini mewujudkan pandangan di kalangan sarjana bahawa pembangunan komuniti keselamatan sebagai pelaksanaan pembinaan identiti yang didefinisikan sebagai some degree of generalized common identity or loyalty. Perasaan bersama mengenai kekitaan merupakan manifestasi pembabitan populasi negara anggota komuniti keselamatan apabila identiti menjadi instrumen kepada intergrasi. Identiti juga adalah intersubjektif dan merujuk kepada ciri asas negara.
Dengan mencadangkan komuniti keselamatan sebagai model alternatif terbaik untuk Asia-Pasifik, amat penting juga untuk mengemukakan apakah contoh yang berjaya membabitkan komuniti keselamatan ini. Paling relevan dan berjaya sehingga kini adalah pertubuhan ASEAN dalam membentuk komuniti keselamatan bagi mengekalkan keamanan di rantau ini. Ini kerana ASEAN menyediakan ruang pengkajian yang kaya dan penting untuk komuniti keselamatan. Sejak pembentukan pada 1967, ia telah melalui pelbagai anjakan dan kritikan di dalam persekitaran strategik serantau. Pada 1960-an, rantau ini digambarkan sebagai begitu tertekan dengan pelbagai isu keselamatan dan pernah dilabel Balkan Timur atau wilayah domino. Ini kerana isu-isu membabitkan komunisme di Indo-China, konfrontasi Malaysia-Indonesia, penaklukan Kemboja oleh Vietnam, isu-isu tuntutan sempadan darat serta laut dan sebagainya. Penubuhan ASEAN pada mulanya tidak diberikan harapan ke arah kestabilan dan keamanan serantau tetapi sehingga kini, ia berjaya mengharungi rintangan dengan jaya dan pada awal 1990-an, ahli-ahli ASEAN boleh mendakwa bahawa mereka telah berjaya menjadi salah satu komuniti keselamatan paling berjaya di dunia.
Salah satu kejayaan ASEAN yang menjadikan rantau ini sebagai salah satu yang aman di dunia adalah kejayaan menyelesaikan konflik Perjanjian Damai Paris terhadap Kemboja pada 1991. Model institusinya telah menjadi asas kepada pembentukan Forum Serantau ASEAN, ARF yang merupakan platform kepada dialog keselamatan multilateral. Era Perang Dingin pula, ASEAN berperanan dalam mengawal tingkah laku kuasa besar dan pasca Perang Dingin, berjaya mencipta order serantau yang stabil di Asia-Pasifik.
Selain keselamatan, perdagangan serantau juga dititikberatkan dengan menjadi regim ekonomi yang membenarkan setiap ahlinya mengekalkan kedaulatan dan meneruskan kepentingan nasional. ASEAN dilihat menjadi badan penyelaras dasar bagi kerjasama ekonomi dan telah mewujudkan Kawasan Dagangan Bebas ASEAN, AFTA. Ia juga berfungsi sebagai forum liberalisasi dagangan, perkongsian maklumat dan landasan kepada urusan kolektif bagi mendapatkan akses kepada pasaran luar. ASEAN membuktikan kerjasama melalui komuniti keselamatan dapat dijayakan tanpa mengambil kira aliran politik sesebuah negara dan ia adalah gabungan sama ada negara demokratik atau tidak berdasarkan keahliannya menerima Vietnam, Laos, Kemboja dan Myanmar.
Langkah terbaru adalah cadangan penubuhan Komuniti Asia Timur, EAC dengan tema keamanan dan kemakmuran serantau. Sidang kemuncak tersebut telah menjemput hampir kesemua kuasa besar yang berada di lingkungan Asia-Pasifik seperti India, Pakistan, New Zealand, Australia, Jepun, Korea Selatan dan lain-lain. Usaha ini walaupun masih pada peringkat awal, sesuatu yang memberangsangkan bagi rantau ini ke arah mewujudkan komuniti keselamatan yang berjaya.
“What enables the ASEAN members to assert the ‘unique’ character of their own brand of regionalism, especially when compared with the legal-rational institutionalism of Western regional institutions (such as the EU), is not just their adherence to the legal norms of non-interference and non-intervention, but the principle and practice of consensus that is justified with reference to a regional cultural style which has enthroned consensus as the modus operandi of the Association” (Acharya, 2001: 26).
Komuniti keselamatan bermodelkan ASEAN dibentuk oleh norma-norma sosio-budaya yang kemudian mengisi ruang interaksi dan proses-proses sosialisasi yang mana melaluinya, ahli-ahli berkongsi satu identiti kolektif dan mampu mencapai cita-cita untuk hidup di dalam wilayah yang aman, makmur dan saling bekerjasama.
Rumusan
Daripada perbincangan di atas, dapat dilihat satu pola terutama di kalangan sarjana Barat untuk membandingkan rantau Asia-Pasifik dengan Eropah sehingga membuat kesimpulan bahawa rantau Asia begitu terdedah kepada konflik berdasarkan sejarah dan pengalaman Eropah. Kesimpulan mudah dengan meletakkan dua dunia yang begitu berbeza daripada pelbagai segi, sehingga memperlihatkan seolah-olah tiada model keselamatan yang lebih berjaya untuk dilaksanakan di sini selain daripada model Eropahnya. Persepsi terhadap China yang bukan tergolong dalam kelompok negara demokratik dengan mudah dianggap sebagai pencetus kepada ketidakstabilan serantau dan mendesak supaya pengimbangan kuasa dilakukan oleh pesaing-pesaing China seperi Jepun dan India.
Perspektif sempit golongan sarjana Barat menyebabkan mereka terlepas pandang akan model yang berjaya mengekalkan keselamatan rantau ini iaitu komuniti keselamatan yang dipraktikkan dengan berjaya oleh institusi ASEAN. Perkara tersebut berlaku kerana sarjana daripada aliran neorealis dan neoliberal menolak sepenuhnya kerangka teori konstruktivis sehingga tidak diberikan harapan untuk menjayakan agenda keamanan serantau. Aliran realis dan liberal yang menguasai arena politik dunia dan begitu dominan dalam menentukan hala tuju keselamatan negara dan wilayah sehingga cenderung untuk melihat kejayaan satu-satu model keselamatan hanya berdasarkan andaian-andaiannya. Dengan kejayaan ASEAN sedikit sebanyak telah membuktikan bahawa dalam konteks Asia-Pasifik, konstruktivis perlu diberikan ruang untuk menguji hipotesisnya.
Selain itu, ASEAN perlu diberi peluang untuk mengetuai model keselamatan di Asia-Pasifik walaupun amalan institusinya dipersoalkan sama ada akan berjaya diterapkan di rantau tersebut. Bagaimanapun, ia bergantung kepada komitmen struktur politik negara-negara di rantau ini untuk memberikan komitmen tidak berbelah bagi dalam mewujudkan rantau yang bebas, aman, berkecuali dan mengelakkan penggunaan ketenteraan dalam penyelesaian sebarang tuntutan atau pertelingkahan.