Politik Perbandingan: Perbandingan Masyarakat Sivil Dan Masyarakat Madani
Pendahuluan
Konsep masyarakat sivil digunakan dengan meluas sebagai konsep deskriptif untuk menilai keseimbangan antara kuasa negara dan persatuan atau badan persendirian. Bagi tradisi liberal, masyarakat sivil dikaitkan dengan pilihan, kebebasan dan tanggung jawab individu. Ini menjelaskan mengapa masyarakat sivil yang sihat dan kuat merupakan ciri penting kepada demokrasi liberal dan liberal klasik khususnya mempunyai rujukan moral kepada masyarakat sivil terhadap negara yang diterjemahkan melalui hasrat untuk meminimakan ruang kuasa negara dan memaksimakan ruang persendirian. Kumpulan-kumpulan sukarela, pergerakan sosial, media massa dan lain-lain institusi bukan kerajaan dapat berfungsi tanpa kawalan kerajaan. Tradisi Marxis pula menggunakan istilah masyarakat sivil untuk menggambarkan keadaan tidak adil yang mengaitkan penguasaan kelas memerintah terhadap golongan pekerja serta bawahan dan mewujudkan ketidakadilan sosial. Dengan itu, masyarakat sivil menjadi salah satu konsep di dalam politik moden yang sering kali dibahas dan didebatkan di dalam masyarakat kontemporari sejajar dengan amalan demokrasi, peraturan undang-undang, hak asasi manusia, kewarganegaraan, keadilan dan pasaran bebas ( Arkoun, 2002). Kemunculan masyarakat madani sebagai satu konsep masyarakat sivil berlandaskan Islam memberi harapan ke arah mewujudkan satu masyarakat sivil yang selaras dengan ajaran Islam berdasarkan hubungan manusia dengan Pencipta (hablun min Allah) dan hubungan dengan masyarakat (hablun min nas). Menjadi tunjang kepada masyarakat madani adalah ajaran Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw melalui hadis-hadis yang menyeru umat Islam untuk berinteraksi secara positif dengan manusia lain dan menjalankan kerja-kerja sosial untuk meningkatkan keadilan sosial yang memberi manfaat kepada semua. Dengan pengenalan ringkas di atas, esei ini akan mendalami perbandingan masyarakat sivil yang berkembang melalui sejarah politik Barat dengan konsep masyarakat madani yang lahir daripada aspirasi umat Islam untuk menegakkan keadilan buat semua berlandaskan ajaran Al-Quran dan hadis.
Definisi Masyarakat Sivil
Ernest Gellner memberi takrifan bahawa masyarakat sivil sebagai masyarakat yang terdiri daripada pelbagai institusi bukan pemerintah yang cukup kuat untuk mengimbangi negara. Walaupun ia bukan bertujuan menghalang negara memenuhi dan melaksanakan peranannya sebagai penjaga keamanan dan keselamatan serta bertindak sebagai hakim atau pengadil antara negara dan rakyat, masyarakat sivil tetap dapat menghalang usaha-usaha mendominasi warganya. Model ini dikembangkan oleh Alexis De Tocqueville berdasarkan pengalaman demokrasi di Amerika Syarikat yang merupakan kewujudan kelompok-kelompok sukarela dalam masyarakat yang membuat keputusan di peringkat tempatan dan menghindari campur tangan pemerintah. Gerakan masyarakat sivil dikenali sebagai saluran penyertaan rakyat dalam pelbagai perkara seperti politik, sosial dan ekonomi selain mampu memberi kesan kepada hubungan kerajaan dan rakyat. Takrifan lain yang diberikan terhadap masyarakat sivil adalah kemampuan untuk hidup berpersatuan secara umumnya dan tabiat berkumpulan itu bagi menggalakkan ketertiban tindakan sesuatu masyarakat di dalam sebuah amalan politik yang demokratik. Model ini dikemukakan oleh Adam Ferguson di pertengahan abad ke-18 dengan latar belakang kemunculan masyarakat kapitalisme yang mengalami penghakisan dari segi tanggung jawab sosial dan berkembangannya pengaruh individualisme. Dengan itu, Ferguson membayangkan masyarakat sivil sebagai masyarakat yang hidup dengan ciri-ciri solidariti sosial yang kuat, bermoral tinggi dan sebagainya. Jika melihat kepada rejim komunis di Poland pada awal 1980-an, terdapat pengkaji menyifatkan perjuangan menentang rejim tersebut menjadi inspirasi kepada tuntutan kebebasan dan pendemokrasian semula negara-negara di Amerika Latin. Perjuangan itu mencerminkan masyarakat sivil di dalam kerangka anti-negara yang ingin memerdekakan negara daripada cengkaman pemerintahan komunis yang menyekat kebebasan dan hak asasi manusia. Masyarakat sivil daripada kelompok ini dimulai oleh Thomas Paine yang melihat masyarakat sivil sebagai penentang kepada negara malah pemerintah perlu dibataskan sehingga sekecil-kecilnya dengan kemampuan masyarakat sivil mengawalnya. Bagi tradisi Marxis pula, masyarakat sivil adalah ideologi kelas dominan yang dikemukakan oleh Karl Marx selepas dicetuskan oleh Hegel. Masyarakat sivil difahami sebagai masyarakat borjuis yang menjadi produk kapitalis dan harus dihapuskan untuk mewujudkan masyarakat tanpa kelas.
Definisi Masyarakat Madani
Masyarakat madani dapat didefinisikan sebagai sebuah masyarakat yang mengamalkan budaya hidup murni berteraskan keadilan, keihsanan dan kebenaran dalam semua aspek kehidupan seperti sosio-budaya, ekonomi dan politik. Ia adalah masyarakat yang menghormati hak-hak asasi manusia dan amalan demokrasi yang berpaksikan kehidupan beragama, berakhlak dan keutamaan menunaikan tanggung jawab individu dan masyarakat bagi memelihara serta mempertahankan kesejahteraan dan keamanan berlandaskan undang-undang. Masyarakat madani juga sebuah masyarakat yang memberi keutamaan kepada keperluan asas, dinamika budaya, kecerdasan dan perkembangan ekonomi, menjaga persekitaran dan mewujudkan pembabitan aktif di kalangan rakyat daripada pelbagai sudut. Ia juga sebuah masyarakat yang menyanjung tinggi perkembangan serta penghayatan ilmu, pembentukan peribadi mulia, kaya dengan daya cipta yang kreatif dan inovatif. Model bagi masyarakat madani daripada perspektif Islam meletakkan kedaulatan rakyat terbanyak sewajarnya dihormati tetapi tidak bertentangan dengan kedaulatan suci dan murni daripada Allah swt. Ia menekankan kepada hak asasi berteraskan martabat kemanusiaan, bentuk kerajaan yang berteraskan keadilan dan membenarkan kritikan daripada pelbagai lapisan rakyat. Bentuk persaingan yang sihat digalakkan dan mengutamakan pendekatan damai berbanding permusuhan dan peperangan. Menurut Anwar (1997), masyarakat madani menjadi penting berikutan proses transformasi dalaman selepas berdekad menghadapi penjajahan kuasa Barat. Dengan itu, peribadi Asia yang bakal muncul hasil pertembungan dengan budaya Barat akan mempertahankan pandangan hidup, peradaban dan prinsip akhlaknya. “Salah satu tanda transformasi tersebut adalah perdebatan yang rancak tentang demokrasi dan masyarakat madani. Telah timbul kesedaran bahawa tidak memadai Asia muncul sebagai naga ekonomi, ia juga perlu bergerak untuk membina kekuatan moral dalam pembentukan desa sejagat. Perdebatan ini berlaku di kalangan generasi baru, cendekiawan, aktivis masyarakat, seniman dan ahli politik yang memiliki keyakinan diri dan mendukung kesejagatan nilai demokrasi. Meskipun perkara ini sering dihubungkan dengan Barat tetapi bagi Asia perbahasan ini sebenarnya berakar umbi pada tradisi dan budayanya yang kaya.” (Gelombang Kebangkitan Asia, 1997:43) Anwar memberikan takrifan bahawa masyarakat madani adalah satu konsep masyarakat sivil yang bebas daripada acuan dan pengalaman demokrasi Barat dan sentiasa mementingkan musyawarah. Ia diasaskan oleh prinsip akhlak dan pemerintahan berlandaskan hukum agama bukannya tindakan yang lahir daripada nafsu manusia semata-mata. Ia akan sentiasa memelihara institusi masyarakat yang menjadi perantara kerajaan dan rakyat. Masyarakat madani penuh dengan usaha penyuburan semangat kebebasan, kemerdekaan diri dan mengembalikan nilai keperimanusiaan. Dengan itu, ia dikatakan mempunyai perbezaan asas dengan gagasan yang diungkapkan oleh pemikir Barat. Penduduk Asia mempunyai pandangan berbeza terutama melihat agama bukan sekadar persoalan peribadi tetapi mempunyai peranan besar dalam masyarakat dan memberi tunjuk arah moral dalam dunia politik dan ekonomi. Umumnya, menurut Anwar, masyarakat madani merujuk kepada sebuah masyarakat bertamadun, beradab, berilmu, memiliki kehidupan bermasyarakat yang teratur dan tertib dalam kawalan hukum serta undang-undang dan penguatkuasaan keadilan. Ia juga dikaitkan dengan tamadun yang digambarkan sebagai kehidupan insan yang bermasyarakat dan telah mencapai satu kehalusan tatasusila dan kebudayaan luhur bagi seluruh masyarakat. Ia juga mempunyai sistem sosial yang subur dengan prinsip-prinsip moral yang dapat menjamin keseimbangan antara kebebasan individu dengan kestabilan masyarakat serta mendorong kepada daya usaha dan inisiatif individu. Era kebangkitan Islam yang melanda dunia Islam pada 1960-an turut menyumbang kepada perkembangan masyarakat madani sebagai satu konsep masyarakat yang harus dicapai oleh penganut-penganutnya. Selain definisi, amat penting untuk melihat kepada perkembangan masyarakat madani sebelum membuat perbandingan dengan masyarakat sivil yang terhasil daripada pengalaman politik Barat. Sebahagian besar sarjana mengkaji Islam, mempunyai kecenderungan untuk mengaitkan permulaan bagi perkembangan masyarakat madani dengan pembentukan masyarakat beradab di Madinah. Sebelum kedatangan Nabi Muhammad saw ke kota tersebut yang terkenal dengan nama Yathrib, masyarakatnya hidup dalam keadaan saling bermusuhan, tidak wujud toleransi antara kaum, tiada permuafakatan dan saling tindas menindas. Kedatangan baginda menukar masyarakat kepada masyarakat berilmu, berakhlak, menghormati undang-undang, bermuafakat dan sebagainya yang menjadi permulaan kepada pembentukan masyarakat madani. Ia dianggap model terawal masyarakat madani dalam konteks Islam. Tindakan utama baginda dalam menukar peribadi masyarakat adalah melalui penetapan yang dikenali sebagai Piagam Madinah[1] (Mitsaq al-Madinah) atau juga dinamakan Perlembagaan Madinah. Di dalam perlembagaan ini, setiap puak dan kaum di dalam kota Madinah perlu memberi pengakuan dan berjanji menghormati hak-hak individu lain tanpa melihat kepada perbezaan agama dan menjadi umat yang bersatu dengan hak-hak dan kewajipan yang sama. Dengan itu, Islam telah membawa perubahan radikal dalam kehidupan individu dan sosial di Madinah kerana keupayaannya mempengaruhi dan meningkatkan kualiti seluruh aspek kehidupan. Konsep masyarakat madani di Madinah menjadi asas kepada satu kehidupan bertamadun dengan kombinasi elemen perundangan, penyertaan politik daripada pelbagai kalangan rakyat dan kaum serta kesediaan memenuhi keperluan pelbagai budaya. Azizuddin (2002) berpendapat masyarakat madani dinilai dan diamalkan berasaskan kepada prinsip-prinsip agama, nilai dan rohaniah Islam. Revolusi kerohanian dan akliah yang dibawa Islam kemudiannya menggerakkan tradisi sosial yang meletakkan asas susunan baru kemasyarakatan dan kenegaraan. Ia memperkenalkan cita-cita keadilan sosial dan pembentukan masyarakat madani iaitu sebuah masyarakat sivil yang bersifat demokratik. Ia menghubungkan keadaan sosial, kebudayaan, agama dan politik di dalam kerangka moraliti sosial yang dikehendaki pada peringkat individu dan masyarakat. Masyarakat madani menonjolkan sistem sosial yang cekap dan adil serta pelaksanaan pemerintahan menurut undang-undang. Dengan itu, politik negara akan dipandu oleh matlamat dan prinsip moral, etika dan keislaman yang mengasaskan masyarakat sivil yang beretika. Ia merupakan satu konsep yang berkembang sejak keagungan zaman kebangkitan intelektual Islam seperti al-Farabi, Ibnu Miskawayh dan Ibnu Khaldun yang masing-masing menjelaskan konsep sebenar masyarakat madani sebagai masyarakat yang bertamadun Al-Farabi menjelaskan konsep dalam masyarakat madani tahap rendah, anggota-anggota masyarakat saling bekerjasam tapi dari segi untuk mendapatkan keuntungan peribadi, berniaga dan membantu daripada aspek kebendaan. Pada tahap tinggi pula, ahli-ahli masyarakat akan bekerjasama untuk membina tamadun luhur melalui pencarian kebenaran, mencapai kebahagian bersama, memupuk kecintaan terhadap ilmu dan memakmurkan masyarakat dengan perkara-perkara mulia. Ibnu Miskawayh pula berpendapat yang dimaksudkan dengan masyarakat madani adalah masyarakat bertamadun dan merujuk kepada makna madaniyyah iaitu keadaan perbandaran dan kemakmuran yang dicapai melalui kerjasama kebajikan rakyat. Bagi Ibnu Khaldun, beliau turut berpendapat seperti Ibnu Miskawayh dengan mengatakan masyarakat madani adalah rujukan kepada peradaban dan kemakmuran hidup serta amat berkait rapat dengan masyarakat bertamadun.
Perbandingan Masyarakat Sivil Dan Masyarakat Madani
Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat persamaan dari segi nilai sejagat yang dibawa sama ada oleh masyarakat sivil dan masyarakat madani berdasarkan interaksi antara Islam dan tamadun Barat. Konsep masyarakat sivil Barat berteraskan sekularisme yang mewujudkan pertentangan antara pemerintah dan agama yang berbeza dengan pengalaman dunia Islam dan konsep masyarakat madani yang menumpukan kepada perpaduan dan harmoni antara pemerintah dan agama. Azizuddin (2002) menyatakan bahawa terdapat dua perkara pokok yang membezakan kedua-duanya. Masyarakat sivil dilihat sebagai satu organisasi yang menjadi orang tengah bagi perhubungan antara pemerintah dan rakyat berbanding masyarakat sivil yang merangkumi ruang lebih luas dan tidak terhad kepada ruang hubungan antara kerajaan dan rakyat. Masyarakat sivil juga menekankan kepada pemikiran dan rasional manusia sahaja sebagaimana yang terhasil daripada falsafah politik liberalisme berbanding masyarakat madani yang mengandungi unsur-unsur keagamaan dan kerohanian yang tinggi tanpa mengenepikan rasional insan. Masyarakat sivil dan masyarakat madani adalah masyarakat yang bergantung kepada tingkah laku, budaya dan etika masyarakatnya yang mengamalkan persamaan politik iaitu persamaan peluang bagi individu melibatkan diri dalam kerajaan atau mempengaruhi setiap keputusan kerajaan. Dalam hubungan negara dan masyarakat, masyarakat madani mempunyai persamaan dengan masyarakat sivil iaitu sebagai peserta di dalam sistem kenegaraan dan menjadi komuniti politik yang menjadi tempat warganegara terlibat secara langsung dalam proses pembuatan keputusan. Ia juga menyamai konsep masyarakat sivil sebagai visi etika di dalam kehidupan bermasyarakat yang mengukuhkan perpaduan, solidariti, sentimen moral dan sikap saling menyayangi. Masyarakat madani dan masyarakat sivil juga seiring dalam melaksanakan peranan sebagai unsur keseimbangan kekuatan negara yang menyaksikan pembabitan kelompok-kelompok sukarela dalam masyarakat yang membuat keputusan di peringkat tempatan dan menghindari campur tangan sepenuhnya pemerintah. Dalam persoalan persaingan kuasa dan pengaruh pula, akan wujud perbezaan kerana masyarakat madani mementingkan aspek persaingan yang sihat dan beretika. Ia mungkin kurang ditekankan dalam masyarakat sivil khususnya dengan teori-teori seperti matlamat menghalalkan cara. Bagi persoalan hak asasi manusia, kedua-duanya cuba mengangkat hak individu ke tahap paling tinggi tetapi bagi masyarakat madani masih membataskan kepada ajaran agama berbanding dalam masyarakat Barat yang pada masa kini telah wujud tuntutan untuk mengamalkan perkahwinan sama jenis. Individualisme juga turut menjadi tunjang utama dalam bermasyarakat dan menyebabkan kepentingan pihak yang ramai iaitu masyarakat kemungkinan terabai. Menyentuh mengenai amalan demokrasi, kedua-duanya berkongsi persamaan dalam mengangkat hak-hak individu seperti kebebasan bersuara, kebebasan terbabit di dalam politik dan perkara-perkara lain tetapi dengan adanya elemen sekularisme di dalam masyarakat sivil berbanding masyarakat madani, maka masyarakat sivil seboleh-bolehnya cuba memisahkan diri dan membebaskan ikatan dengan nilai-nilai keagamaan. Dengan itu, ia akan sentiasa bersedia untuk melanggar norma-norma mulia dalam kehidupan beragama demi mencapai matlamat dan mendapatkan persetujuan ramai. Kesannya juga turut dapat dilihat dalam usaha memberikan kuasa kepada rakyat ia tidak akan memberi tumpuan kepada hal-hal yang bertentangan dengan agama berbanding masyarakat sivil yang sentiasa memastikan kuasa rakyat tidak terkeluar daripada landasan serta nilai-nilai ajaran agama Islam.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbandingan konsep masyarakat sivil yang cetuskan oleh idea-idea liberalisme daripada pengalaman politik Barat dan masyarakat madani yang cuba dicapai oleh rakyat di negara-negara Islam khususnya mendapati masyarakat madani mempunyai konsep yang lebih luas dan merangkumi suatu masyarakat secara keseluruhan. Ia telah mempertimbangkan hubungan rakyat dan pemerintah, rakyat di dalam kehidupan bermasyarakat dan aspirasi untuk mencapai tamadun yang berasaskan nilai-nilai keagamaan dan kemanusiaan yang murni bermula daripada individu, keluarga, masyarakat hinggalah kepada kerajaan dan pemerintah. Ia lebih mengutamakan konsep permuafakatan dan aspek kerjasama serta perdamaian dalam mencapai sebuah masyarakat yang berfungsi sebagai masyarakat madani. Manakala, dalam masyarakat sivil, ia lebih merujuk kepada satu ruang hubungan peribadi atau perseorangan dengan negara dalam sesebuah masyarakat. Tiadanya ikatan kepada nilai-nilai agama kemungkinan menyebabkan hala tuju individu terbabit di dalam masyarakat sivil lebih kepada kepentingan diri dan mencapai matlamat peribadi berbanding kepentingan umum yang lebih luas. Selain itu, hubungan di dalam masyarakat sivil lebih kepada antara individu dengan individu yang lain sama ada pihak pemerintah atau di dalam masyarakatnya yang mengenepikan secara sepenuhnya aspek keagamaan. Manakala bagi masyarakat madani, hubungan sesama insan telah diperkuatkan lagi dengan mengambil kira kepentingan lebih besar iaitu hubungan dengan Tuhan yang dapat menjadikan hala tuju pembentukan masyarakat lebih bermakna dan tidak bersifat kepentingan individu semata-mata.
[1] Perlembagaan ini mempunyai 47 klausa yang terkandung di dalamnya persoalan semangat satu komuniti, keadilan untuk semua, persamaan hak, bantu membantu dalam kebaikan, menentang maksiat dan setiap anggota komuniti bertanggung jawab tanpa pengecualian berdasarkan latar belakang, kaum, keturunan dan agama. Klausa 1 hingga 23 menetapkan perjanjian sesama umat Islam iaitu Ansar dan Muhajirin serta mengutamakan ikatan keimanan dan bukannya darah, ketaatan kepada Allah swt dan bukannya suku, keutamaan menyelesaikan masalah kepada syariat dan bukannya adat. Klausa 24 hingga 47 pula membincangkan perjanjian damai antara baginda dengan masyarakat berketurunan Yahudi dalam mempertahankan Madinah, sepakat sebagai satu masyarakat, kebebasan beribadat, mempunyai autonomi dalam soal hukum agama masing-masing serta tanggung jawab menjaga keamanan Madinah.
3 Trackbacks/Pingbacks
[...] for a politician who had promoted the ‘masyarakat madani’ concept, this is surely an oxymoron indeed. Malaysians have never met anyone who had made known [...]
[...] for a politician who had promoted the ‘masyarakat madani’ concept, this is surely an oxymoron indeed. Malaysians have never met anyone who had made known [...]
[...] for a politician who had promoted the ‘masyarakat madani’ concept, this is surely an oxymoron indeed. Malaysians have never met anyone who had made known [...]