Dalam analisis dasar luar dan pertahanan, Macridis (1992) merumuskan bahawa elemen material seperti keadaan geografi, sumber asil dari segi galian, makanan dan sumber tenaga serta kemampuan perindustrian dan ketenteraan boleh mempengaruhi konsep asas penggubalan polisi yang berkait rapat dengan konsep kepentingan nasional sesebuah negara. Dasar luar dan pertahanan sesebuah negara juga bergantung kepada keadaan serta jumlah populasinya serta peranan dan perspektif yang dipegang penggubal polisi dan pemimpin negara itu. Tidak boleh diketepikan juga, peranan ideologi dan maklumat dalam membentuk dasar mencerminkan kewujudan matlamat yang perlu dicapai dan bagaimana ia boleh tercapai.
Menurut Rosenau (1980), penggubalan polisi luar tidak dapat dipisahkan daripada konteks keperluan kemasyarakatan kerana terdapat pembolehubah dalaman (internal) dan luaran (external) yang wujud dalam setiap proses penggubalan itu :
“The intervening variables in foreign policy analysis are hardly less extensive. They include not only any attitudes, procedures, capabilities and conflicts that shape the way in which governmental decision-makers and agencies assess the initiatory stimuli and decide how to cope with them, but also embrace any and all of the resources, techniques and actions that may affect the way in which the decisions designed to preserve or modify circumstances in the international system are carried out.” (Rosenau, 1980)
Manakala polisi pertahanan sesebuah negara adalah rangkuman langkah penting yang perlu diambil dalam usaha mempertahankan kepentingan nasional menerusi kemampuan ketenteraan. Secara umumnya, dasar pertahanan saling berkaitan dengan konsep asas dasar luar yang dipengaruhi oleh latar antarabangsa, kepentingan politik domestik, teknologi dan industri ketenteraan. Setiap negara mempunyai rancangan tersendiri bagaimana mereka menggunakan sumber-sumber sedia ada bagi mencapai objektif-obejktif nasional, mempertahankan negara mereka dan kepentingannya. Ini termasuklah tingkah laku mereka di dalam sistem antarabangsa, amalan peperangan dan pembabitan aspek politik, ekonomi dan ketenteraan.
Oleh itu, esei ini akan membincangkan tentang konsep asas yang mempengaruhi polisi luar dan pertahanan Australia, bagaimana Australia menggunakan polisi luar dan pertahanannya untuk membentuk penglibatan dan hubungan antarabangsanya dan dasar pertahanan Australia yang berasaskan kemampuan yang membantunya mencapai matlamat kepentingan nasionalnya.
DASAR LUAR DAN PERTAHANAN AUSTRALIA: KONSEP ASAS
Dalam memahami apakah factor yang mempengaruhi penggubalan dasar luar dan pertahanan Australia, perlulah diteliti konsep asas kepentingan nasionalnya, konsep keselamatan nasional serta pertimbangan lain yang dikira penting oleh kerajaannya. Kepentingan Nasional Australia adalah berasaskan hakikat bahawa ia mempunyai kepentingan di Asia Pasifik dari aspek strategik dan ekonomi. Ini kerana disebabkan kemampuan dan penglibatannya dalam perdagangan antarabangsa yang mencorakkan tahap dan kos kehidupan rakyatnya yang tinggi.
Konsep keselamatan nasional pula mengambil kira kedudukannya geografinya sebagai benua terkecil yang terpencil maka Australia tidak mungkin menghadapi ancaman secara lansung dari segi serangan ketenteraan. Namun, definisi keselamatan nasionalnya dipengaruhi oleh factor lain iaitu kemampuan membuat keputusan tanpa rasa terancam dari pihak lain. Dari aspek ekonomi, kepentingan ekonomi Australia adalah ia mementingkan hubungan dagangnya dengan Negara-negara rantau Asia Pasifik kerana ¾ daripada nilai eksportnya diperolehi dari dagangan dengan Negara-negara APEC. Di negara anggota APEC juga Australia mempunyai jumlah pelaburan luar negara yang terbanyak.
Dari segi perspektif Australia mengenai isu semasa yang berkaitan dengan Orde Dunia kini dapat dilihat menerusi komitmennya terhadap agenda pelupusan senjata pemusnah dan senjata biologi. Komitmennya terhadap protokol senjata biologi menunjukkan kesungguhan Australia untuk mengekalkan tahap keselamatan yang tinggi. Ia juga komited menghalang penggunaan senjata peluru berpandu balistik yang mampu menyerang dari jarak jauh. Menerusi usaha multilateral pula, Australia meningkatkan kemampuan pertahanannya dengan kerjasama peringkat antarabangsa seperti peperangan membanteras keganasan serta kerjasama serantau dalam menangani permasalahan pendatang asing tanpa izin, kegiatan lanun serta aspek keselamatan maritime yang lain.
Secara asasnya, prinsip penggubalan polisi luar dan pertahanan Australia adalah berdasarkan hakikat bahawa, pertama; hubungannya dengan negara Asia Pasifik yang dapat membantu meningkatkan tahap keselamatan terutamanya apabila wujud perkembangan berkaitan dalam hubungannya dengan rantau itu. Kedua, Australia memerlukan satu polisi yang menyokong serta memastikan pertalian dan penyertaannya di arena antarabangsa dicapai sepenuhnya dan memberi kesan produktif dalam jangka masa panjang. Ketiga, pertimbangan yang mementingkan prinsip pendekatan yang rasional dan berperikemanusiaan dalam menangani cabaran global. Ini dirumuskan oleh Ferguson (2001):
“Australian foreign policy has shifted towards a more cooperative model in recent years, allowing for a cooperative approach which allows regional empowerment. Australia’s defence policy, however, had relied on great allies for regional stability, and self-reliance for immediate security, and is much more cautious about regional empowerment.”
Mengapakah dinamika perhubungan Australia dan rantau Asia Pasifik ini dikatakan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi polisi luarnya? Pada sudut pandangan Australia, abad ke 21 meletakkan Australia di dalam kedudukan penting dan bekerjasama sepenuhnya dari aspek ekonomi dan persaingan perdagangan menerusi rangkaian yang luas dan menyeluruh. Oleh itu, keutamaan polisi luarnya adalah untuk terus mengekalkan perhubungan dan rangkaian tersebut demi menjamin peluang kekayaan dan pekerjaan untuk rakyatnya dan kedudukan geografinya yang menekankan kepentingannya untuk mempunyai hubungan baik dengan negara rantau Asia.
Kepentingan tersebut terus dijadikan teras dasar sehingga akhir 1980-an, tetapi ia dipergiatkan lagi apabila dasar luar menekankan usaha mempertingkatkan hubungan dengan rantau Asia secara komprehensif. Usaha ini dicerminkan menerusi langkah menggalakkan penerimaan bahasa Asia, jumlah kemasukan imigran berbangsa Asia yang meningkat di bawah pelbagai skim pendidikan, kemanusiaan, penyatuan dan perniagaan. Perubahan ini terus dapat dilihat apabila jumlah rakyat Australia berbangsa Asia semakin bertambah. Pada awal 1990-an, kira-kira 94% terdiri dari rakyat berkulit putih, 2.1% berbangsa Asia, dan 1.1% orang asli (Aboriginal). Daripada jumlah keseluruhan populasi, 77% dilahirkan di Australia manakala 23% sebaliknya. Peratusan ibubapa yang tidak dilahirkan di Australia adalah 40% (Blainey 1994). Hasil banci tahun 1996 pula mendapati, 23% rakyat Australia dilahirkan di luar negeri manakala satu per dua belas daripada populasi dilahirkan di Negara bukan Eropah.
Ini membuktikan bahawa wujud implikasi kebudayaan ke atas Australia di mana bahasa Asia tidak lagi diajar di peringkat sekolah rendah dan menengah tetapi sudah semakin ketara penggunaannya di peringkat universiti melalui skim pengajaran kurikulum. Seperti juga bahasa, kini terdapat pelbagai jenis agama yang dianuti rakyat Australia di mana jumlah penganut agama Buddha semakin meningkat. Namun, dasar luar Australia masih mengekalkan kebudayaan asasnya yang berteraskan budaya Anglo-Celtic, Eropah dan Kristian.
HUBUNGAN DAN PENGLIBATAN AUSTRALIA DI PERINGKAT ANTARABANGSA
Dasar luar Australia sudah beralih daripada kebergantungan kepada Britain dan Amerika Syarikat (AS) dan dibentuk sebagai satu konsep yang lebih bersifat berdikari. Dasar era awal itu telah dirangka mengikut keadaan realiti kemampuan ekonomi dan ketenteraan Australia yang serba kekurangan terutamanya ketika menghadapi zaman peperangan abad ke-20. Kerangka awal yang mempertimbangkan peranan empayar British dan konsep Komanwel dalam persekitarannya juga sudah lama berubah walaupun Australia masih lagi bekerjasama dengan gabungan itu dalam aspek hak asasi manusia dan pembangunan sejagat. Australia menyokong Deklarasi Komanwel Harare sejak 1991 yang telah menggariskan peranan kumpulan negara Komanwel untuk mempromosikan pendemokrasian, penubuhan kerajaan yang beretika, menegakkan hak asasi manusia, menghormati undang-undang antarabangsa dan menyokong pembangunan ekonomi dan sosial yang mapan.
Organisasi Komanwel ini juga agak kritikal terhadap beberapa isu diskriminasi dan pelanggaran hak asasi manusia di Afrika Selatan, Nigeria dan Fiji, serta mengekalkan pengaruh antarabangsanya melalui mesyuarat ketua-ketua negara (CHOGM: Commonwealth Heads of Government Meeting) yang dianjurkan dua tahun sekali. Perubahan dalam dasar luar Australia terus dilihat di akhir era Perang Dingin dan ketika China mengadakan reformasi ekonominya sekitar tahun 1980-an. Dasar luar yang baru ini menggariskan:
1) Perubahan dalam hubungan dengan China, Jepan, Russia and negara Asia Tenggara
2) Mengiktiraf keutamaan hal berkenaan ekonomi melebihi aspek ketenteraan
3) Peralihan daripada mementingkan kepentingan di Eropah dan AS kepada pendekatan memfokuskan rantau Asia
4) Peralihan daripada konsep bilateralism kepada multilateral, contohnya hubungan dengan negara APEC, ASEAN dan ASEAN Regional Forum (ARF) and Asia-Europe Meetings (ASEM), walaupun terdapat kecenderungan kepada bilateralism pada tahun 1997-2000.
5) Menumpukan perhatian terhadap meningkatkan tahap kemampuan berdikari (self-reliance) dan pada masa yang sama mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh angkatan tentera AS di rantau Asia Pasifik secara keseluruhannya.
Secara tidak lansung, trend tersebut telah membenarkan Australia menumpukan perhatian kepada perkara yang dikategorikan sebagai ‘low politics’ yang menampakkan pendekatan yang lebih lembut. Sebagai contoh, isu alam sekitar dilihat sebagai penting seperti yang digariskan dalam laporan United Nations 1987 Brundtland Commission on Environment and Development (Evans & Grant 1995, p11). Pentadbiran Australia mula menyokong langkah menghentikan perlombongan di Antartika kerana bimbang pelupusan lapisan ozon dan telah menekankan kepentingan untuk mewujudkan pembangunan sumber yang lebih mesra alam dan mapan di Asia Pasifik.
On the other hand Australia, with its large coal industry, has found it difficult to accept internationally proposed targets for greenhouse gas emissions, and has found even keeping to 5% increase over 1990 emission in the year 2010 difficult to accept (Hogarth 1997). Tense negotiations in Japan resulted in Australia negotiating to allow an 8% increase in 2008-2012 over 1990 levels, and Australia was one of the few countries that was allowed an increase rather than a decrease in emissions. The Howard government’s stand in the 1998 Kyoto Environmental Conference was a triumph in the short term, since it imposed less strain on our economy, but has brought into question Australia’s reputation as an environmentally aware nation.
Dasar luar Australia juga menggariskan kebimbangan terhadap isu kesihatan antarabangsa seperti penyebaran wabak penyakit baru secara global, kegiatan penyeludupan dadah di peringkat antarabangsa, kepentingan peranan dalam aktiviti menjaga keamanan dan komitmen yang kuat terhadap protocol pengawalan senjata dan pengurangan senjata. Bekas Menteri Luarnya, Gareth Evans pernah menyatakan bahawa Australia harus menjadi “warga dunia yang dicontohi.” Memandangkan hal ini bukan sahaja berkenaan etika, tetapi ia juga mencerminkan betapa perlunya sebuah kuasa sederhana meraih sokongan dan pengaruh yang lebih di peringkat antarabangsa. Penghormatan antarabangsa inilah amat penting kepada Australia sekiranya ia ingin mempengaruhi agenda antarabangsa, contohnya untuk membentuk satu kumpulan negara menubuhkan rangkaian polisi pertanian untuk mempelopor reformasi dalam proses dagangan dunia (Evans & Grant 1995, p37).
Dasar luar yang ‘hijau’ ini ada menghadapi cabaran untuk berjaya terutamanya apabila berhadapan dengan peluang ekonomi di negara Asia dan Asia Tenggara. Pembangunan mendadak negara Asia dikatakan menjadi pemangkin terhadap langkah mengorientasi semula dasar luar ke arah Asia. Ini membuktikan kesan pembangunan ekonomi rantau Asia yang mengubah konsep kekuasaan ekonomi kerana pada tahun 1995, negara-negara Asia mewujudkan 2/5 daripada jumlah dagangan dunia dan menghasilkan lebih separuh daripada keluaran (output) ekonomi dunia (Evans & Grant 1995, p13). Hari ini kira-kira 45% dagangan global merangkumi kawasan rantau Asia Pasifik. Adalah dijangkakan bahawa kuasa besar ekonomi dunia di masa depan adalah Jepun dan China.
Pertimbangan terhadap realiti transformasi di Asia Timur ini menjangkakan menjelang tahun 2010, rantau itu mampu mewakili 34.6% daripada KDNK global, iaitu lebih banyak daripada yang dapat diperolehi daripada kawasan dagangan Eropah Barat atau NAFTA (AS, Kanada, dan Mexico). Implikasi pembangunan pesat ini akan dirasai dari aspek alam sekitar yang dijangka mengalami pengurangan kawasan hutan, pencemaran air dan udara serta pelupusan sumber marin. Kejadian pembakaran hutan di Borneo dan Sumatera juga dilihat sebagai petanda penting sejak akhir tahun 1997. Walaupun perkembangan ekonomi dikira baik dan menguntungkan, ia membawa implikasi serius terhadap isu ekologi dan alam sekitar antarabangsa.
Apa yang menarik adalah disebabkan fakta tersebut, pendirian yang digambarkan Australia menerusi dasar luarnya telah menyebabkan ia menyimpang daripada kecenderungan untuk mengikat dasar luarnya dengan dasar luar negara lain, contohnya AS. Di bawah pentadbiran Whitlam di AS sepanjang tahun 1972-75 telah menampakkan perbezaan pandangan dan kepentingan antara AS dan Australia. Ini bermaksud walaupun dasar pertahanan kedua-duanya saling berkait dan kedua-duanya adalah sekutu, ini tidak bermaksud dasar luar Australia dipengaruhi AS dari aspek halatuju dan fokusnya (Evans & Grant 1995, p16). Ia terbukti apabila Australia mengundurkan diri daripada terlibat dalam Perang Vietnam 1973 serta perdebatan dalaman mengenai kewujudan pengkalan tentera AS di Australia selain daripada pandangan dan usaha mengiktiraf kerajaan komunis Vietnam Utara dan China.
Apabila membincangkan tentang penggubalan dasar luar, perlu juga diambil kira peranan beberapa pembolehubah dalaman seperti kewujudan kumpulan-kumpulan tertentu yang boleh mempengaruh proses membuat keputusan. Ini termasuk jawatankuasa bersama hal-ehwal luar negara, pertahanan dan perdagangan. Kumpulan pelobi juga amat berpengaruh. Di Australia, media memainkan peranan penting. Sebagai contoh, sejak tahun 1975 hingga akhir 1980-an, media Australia telah memainkan peranan menyuarakan pendapat awam mengenai Indonesia yang bertentangan dengan pendirian rasmi kerajaan Australia. Dengan liputan yang menyeluruh mengenai baik buruk hubungan dengan negara Asia oleh media terutama mengenai isu bantahan dan imej sesebuah negara, ia sedikit sebanyak telah mempengaruhi pandangan negara Asia terhadap Australia. Terdapat kemungkinan peranan media Australia ini telah menyebabkan Presiden Indonesia, Suharto tidak mahu mengunjungi Australia.
Lobi dari kumpulan yang berkepentingan dalam pertanian dan perladangan juga mempengaruhi dasar luar Australia yang meminta reformasi dagangan dalam sektor pertanian terutamanya terhadap dasar AS memberi subsidi kepada hasil eksport taninya. Pada akhir 1990-an, Australia menyuarakan kebimbangan terhadap pengurangan jumlah pasaran bijiran dan hasil ternakan ke Asia Tengah dan sewaktu daging kambing tidak dibenarkan dieksport ke AS. Namun, sekitar tahun 1994 hingga 1998, eksport Australia ke AS mula meningkat dan hubungan antara keduanya kini banyak mempertimbangkan perkembangan peluang pasaran akibat trend di rantau Asia dan ekonomi dunia.
Seperti yang diterangkan di awal perbincangan ini, kepentingan Australia terletak pada membuka peluang rakyatnya mendapat pendapatan yang tinggi untuk hidup lebih selesa, dasar luarnya banyak dipengaruhi oleh komuniti peniaga yang terlibat dalam industri pengeksport. Komuniti ini menjadi suara menerusi kesatuan sekerjanya dan perwakilan politik untuk menggalakkan perkembangan positif dalam dasar luar agar prestasi Australia di peringkat antarabangsa sentiasa dijaga. Ini kerana kumpulan ini menyokong penglibatan Australia di rantau Asia dari segi ekonomi dan politik yang mampu membuka peluang kekayaan untuk mereka. Ini tidak bermaksud mereka mahu Australia menjadi lebih ketimuran ataupun bersetuju jika Australia terbabit dalam konflik peperangan negara-negara Asia.
Pertukaran pucuk pimpinan kerajaan selepas pilihanraya 1996 juga tidak mengubah dasar memainkan peranan aktif di rantau Asia. Malah terdapat penekanan terhadap hubungan dua-hala dengan negara-negara Asia secara berasingan daripada kerjasama multilateral (Department of Foreign Affairs and Trade 1997). Tumpuan yang lebih diberikan kepada negara Asia Tenggara seperti Indonesia, manakala China dan Jepan diberi layanan istimewa dan ini dilihat menerusi kekerapan kunjungan rasmi ketua kerajaan Australia ke negara itu. Perlu disebut bahawa pendekatan perhubungan dengan Asia ini penuh risiko dan bukan sesuatu yang mudah dipelihara, terutamanya ketika era pentadbiran Keating dan Howard. Isu seperti dasar penilaian semula terhadap timur Timor (Cotton 1999), isu hak asasi manusia, permintaan dari pergerakan kesatuan, tuduhan perkauman serta persepsi awam mengenai ancaman keselamatan tahun 1990-an adalah antara pergolakan yang terpaksa ditangani (Cottrell & Makkai, 1995, pp59-71). Juga wujud, permasalahan tenaga buruh, alam sekitar dan pendatang haram menjadikan peranan Australia di rantau Asia semakin rumit. Contoh lain, permasalahan dengan Malaysia mengenai pandangan erti keanggotaan organisasi serantau serta komitmen kuat Australia dengan AS dari segi ketenteraan yang menyinggung China kerana ia melihat langkah Australia itu sebagai cuba mengawal pengaruhnya di rantau Asia.
Terdapat juga kritikan dari dalam yang menyatakan bahawa pendekatan mementingkan rantau Asia ini memperlihatkan kebergantungan sistem kewangan dan perdagangan Australia kepada kekayaan Asia. Ini dikhuatiri menjejaskan matawang Australia terutamanya ketika kejatuhan ekonomi Asia yang menyebabkan dolar Australia turun bawah paras perpuluhan enam berbanding dolar AS pada tahun 1998 dan kekal di tahap rendah sehingga tahun 2000. Hakikat ini membuktikan bahawa strategi ekslusif yang dilaksanakan hanya di satu rantau mengundang bahaya. Maka dasar luar Australia mempertimbangkan pendekatan kembali menceburi pasaran Eropah.
DASAR PERTAHANAN AUSTRALIA BERASASKAN KEMAMPUAN
Pembentukan kemampuan Angkatan Tentera Australia (Australian Defence Forces – ADF) adalah untuk menunjukkan kemampuannya menghalang serangan atau menewaskan musuh dengan konsep pertahanan yang kuat tetapi fleksibel. Negara jiran Australia tidak perlu bimbang dengan kemampuan ADF kerana Australia tidak pernah menuntut mana-mana wilayah negara jiran serta saiz ADF yang tidak cukup besar untuk mengancam kewujudan mana-mana negara jirannya. Asas dasar pertahanan Australia mengambil kira konsep pertahanan yang bermatlamat mewujudkan satu angkatan yang lengkap dari segi ketenteraan dan mampu menjamin keselamatan negara. Australia sedar akan persekitaran strategiknya dan dasar pertahanannya menggariskan kemampuan mempertahankan negara sekiranya diancam dari laut dan udara. Dasar pertahanannya juga menekankan prinsip tidak akan memberi peluang kepada kapal-kapal musuh dan sokongan penuh mesti diberi kepada ADF agar ia bebas merebut peluang menghalang ancaman.
Namun prinsip ini mengalami beberapa konsep perubahan di mana terdapat sedikit ketegangan antara dasar pertahanan (dari segi sistem unilateral atau sekutu) dengan pendekatan di peringkat serantau yang menyokong organisasi seperti ASEAN Regional Forum (ARF) yang mula membincangkan aspek keselamatan di peringkat multilateral (Grant & Evans 1995; Ball & Kerr 1996). Senario ketidakstabilan rantau Asia Tenggara akibat krisis ekonomi dan politik 1997-98 telah meningkatkan usaha Australia menggunakan pertimbangan dan pendekatan pertahanan. Walaupun pada asasnya, dasar pertahanan Australia bersifat defensive, ADF tidak terikat kepada operasi jenis itu malah komponen darat, udara dan maritim mendapat sokongan dari segi pentadbiran dan perhubungan untuk kekal sebagai satu angkatan kelas pertama. Matlamat ADF adalah pertama, untuk membangunkan dan mengekalkan kemampuannya untuk menghalang dan mempertahankan negara daripada serangan. Kedua, membina angkatan yang kuat serta mampu membentuk persekitaran selamat dari tahap serantau dan global agar ia dapat memberi gambaran bahawa musuh sukar mengatasi kemampuannya.
Jika ditelitikan matlamat dasar pertahanannya, kerajaan Australia tidak boleh mengurangkan belanjawan untuk pertahanan sesuka hatinya tanpa mengambil kira konsep asas dasar pertahanan terutama apabila persekitaran Australia yang sentiasa berubah memerlukan ADF terus berfungsi dan berkemampuan. Oleh itu, dasar pertahanannya juga menekankan beberapa keutamaan yang perlu diberi perhatian, iaitu operasi dan pembelian aset mengikut perancangan pertahanan yang disesuaikan dengan keadaan semasa abad ke-21.
Australia juga komited dalam menjamin kemampuan pembelian dan kewujudan dana pertahanan jangka panjang untuk menentukan matlamat ADF dan dasar pertahanannya tercapai. Selain itu, perancangan rapi dari segi ketenteraan juga ditekankan untuk menjamin perkembangan ADF dari semasa ke semasa. Dasar pertahanannya juga menetapkan bahawa hanya individu yang sesuai dari segi kemahiran dan pendidikan terpilih menganggotai ADF. Ia juga menekankan bahawa penggunaan teknologi tinggi dalam meningkatkan kemampuannya perlu diambil kira terutama dari aspek persenjataan dan latihan anggotanya. Faktor tersebut telah sedikit sebanyak meningkatkan perbelanjaan ketenteraan sebanyak 19 billion dollar untuk belanjawan pertahanan tahun 2002-2003. Dasar pertahanan Australia juga mempertimbangkan kemampuan ADF secara efisien dari aspek operasi bantuan kemanusiaan dan menjaga keamanan yang dapat meningkatkan tahap penglibatannya di peringkat antarabangsa. Ini bermaksud bahawa anggota ADF perlu diberi latihan tambahan untuk melengkapkan mereka menangani tanggungjawab baru untuk menjamin keselamatan negara, rantau dan global. ADF juga harus mampu berkhidmat dan dikerah dalam masa yang singkat dan bertahan dalam sebarang operasi jangka panjang. Kini ADF mampu menghantar seramai 850 hingga 1300 anggota untuk menyokong kempen anti-keganasan di peringkat antarabangsa yang ternyata mendapat sokongan dan pujian rakan negara berkuasa besar seperti Amerika Syarikat.
Inilah yang dilihat menerusi Kertas Putih yang dibentangkan oleh bekas Menteri Pertahanan, Kim Beazely pada Mac 1987. Walaupun masih bergantung kepada kehadiran tentera AS di rantau Asia serta rangkaian komunikasi dan perisikan AS, dasar pertahanannya mula menekankan kemampuan ‘self-reliance’. Ini merujuk kepada kemampuan berperang dalam jangka pendek serta mewujudkan kemampuan serangan udara jarak jauh serta serangan dari laut. Menurut Evans & Grant (1995), dasar pertahanan Australia menggariskan empat objektif utama. Pertama, kemampuan mempertahan tanah jajahan Australia tanpa bantuan, kedua, mempromosikan kestabilan dan keselamatan serantau; ketiga, kemampuan memberikan sokongan kepada rakan negara sekutunya dan keempat, terus menyumbang kepada keselamatan strategic global. Kertas Putih 1987 juga menggariskan beberapa kepentingan pertahanan nasional. Ini termasuk definisi kawasan strategik yang menjadi keutamaan dari aspek ketenteraan iaitu rantau Australasia yang merangkumi Australia, New Zealand, New Guinea dan kawasan Barat Daya Pasifik. Kawasan lain yang juga merangkumi kawasan kepentingan strategic utama adalah sebahagian daripada Lautan Hindi, Asia Tenggara dan kawasan lain di Barat Daya Pasifik (Evans & Grant 1995, p33).
Setelah pengunduran AS dari rantau Pasifik akibat pengurangan pengaruh kuasa Soviet dari aspek maritime di Lautan Pasifik dan Lautan Hindi, penglibatan Australia di kawasan ini semakin dirasakan penting kerana dasar pertahanannya menegaskan kepentingan penglibatan dalam hal-ehwal serantau. Konsep pertahanan juga diperluaskan untuk merangkumi aspek keselamatan ekonomi dan perdagangan serta mengaitkan isu tersebut dengan persefahaman multilateral dengan rantau Asia Tenggara (Evans & Grant 1995, p38). Juga terdapat usaha untuk memastikan pertalian dan korelasi antara dasar luar dan pertahanan seperti yang digariskan dalam kenyataan Menteri Luar mengenai Keselamatan Serantau Australia yang diterbitkan pada tahun 1989 (Evans & Grant 1995, p46).
Walaupun Australia mengalu-alukan peranan ARF yang meningkatkan tahap membina keyakinan (confidence building measures CBM) menerusi dialog serantau, kerajaannya terus mementingkan hubungan Australia dengan AS kerana AS masih dianggap sekutu utamanya. Tidak seperti Thailand, Australia membenarkan AS meletakkan peralatan senjatanya di Australia demi menghadapi kemungkinan konflik bersenjata dengan Asia. Walaupun cadangan ini tidak mencetuskan apa-apa perjanjian untuk mengadakan pengkalan atau penyimpanan senjata, ia telah mendorong latihan ketenteraan bersama yang diadakan di Queensland pada tahun 1997 yang dinamakan sebagai eksesais Tandem Thrust, yang melibatkan kedua-dua angkatan AS dan Australia. Matlamat eksesais ini adalah untuk memperkukuhkan kerjasama ketenteraan antara angkatan AS-Australia. Eksesais tersebut telah menyaksikan penyertaan seramai 27,000 anggota, 43 kapal perang dan 229 pesawat. Dan yang paling penting, pengkalan komunikasi Australia telah memainkan peranan sebagai sebahagian daripada system pertahanan anti-peluru berpandu yang dibangunkan oleh AS sepanjang tahun 2000-2001. Langkah tersebut mengukuhkan usaha untuk terus menguatkuasakan system penyatuan ketenteraan dengan AS di seluruh kawasan rantau Asia Pasifik.
Scenario tersebut ditambah apabila hubungan keselamatan Jepun-AS diperbaharui dan pada persidangan tahun 1996 Perdana Menteri Jepun, Hashimoto dan Presiden AS, Clinton bersetuju meningkatkan kerjasama dua-hala untuk menghadapi kemungkinan kecemasan serantau. Nampaknya, ketegangan mengenai isu pengkalan AS di Okinawa tidak melemahkan hubungan kedua-dua kerajaan; ini mungkin kerana AS bersetuju mengembalikan 20% daripada pemilikan tanah pengkalannya kepada penguasaan tempatan Jepun.
Senario perkembangan serantau terbaru telah meminta kewujudan satu kerangka keselamatan yang lebih menyeluruh di rantau Asia berasaskan penyatuan dengan AS yang melibatkan system peluru berpandu beraltitud tinggi yang direka khas untuk menangkis ancaman dari peluru berpandu jarak sederhana milik Korea Utara. Langkah ini tidak disokong oleh Jepun yang mengundi untuk mengekalkan status quo berdasarkan persetujuan Perlembagaan1947. Perbincangan untuk merapatkan hubungan pertahanan Australia-Jepun dengan keselamatan masih bertunjangkan sokongan AS semakin membuahkan hasil. Pada tahun 1997, Menteri Pertahanan Australia ketika itu, McLachlan mencadangkan Australia menghantar anggota tenteranya ke Korea Selatan sekiranya tahap kebuluran di Korea Utara mencetuskan konflik
(Lague 1997). Walaupun idea itu dilihat sebagai satu perspektif yang agak kuno, tetapi ia memberi satu gambaran simbolik tentang minat Australia melibatkan diri dalam hal-ehwal keselamatan di timur laut Asia. Australia pada tahun 1997 juga mula meningkatkan kerjasama ketenteraan dengan Asia Tenggara menunjukkan satu perubahan dalam kepentingan strategiknya. Walaupun terdapat risiko ia dilihat sebagai cuba mempelopori dasar luar dan pertahanan yang semakin agressif, ia sebenarnya mencerminkan hasrat Australia untuk cuba memainkan peranan utama dalam beberapa isu.
Hasrat tersebut mencapai matlamatnya apabila pada 1999, Australia menyumbangkan sebahagian besar daripada jumlah anggota tentera dalam operasi UN di Timur Timor. Komitmen Australia ini telah meningkatkan belanjawan pertahanannya serta mengekalkan kehadirannya di Timur Timor sekiranya negara baru itu semakin diiktiraf dunia. Kesannya, ketegangan hubungan dengan Indoneisa yang sekaligus meningkatkan kebimbangan di kalangan Negara ASEAN selain menimbulkan persoalan mengenai peranan masa depan ARF dalam konflik seperti itu.
Apabila mendalami pengertian pertahanan berdasarkan kemampuan, dasar pertahanan Australia dilihat cuba membantu kerajaannya memainkan beberapa peranan di peringkat domestik dan antarabangsa. Kemampuan ADF sebagai satu angkatan yang boleh mencapai matlamat asasnya, iaitu mempertahankan tanahair ditambah dengan peranannya menaikkan taraf Australia sebagai aktor utama di rantau Asia dari segi ketenteraan selaras dengan kepentingan nasionalnya. Namun, masih terdapat beberapa kekurangan dalam cuba mengimbangi kedua-dua peranan tersebut. Kemampuan pertahanan Australia hanya di tahap keselamatan serantau dan bukan di peringkat global kerana jumlah anggota yang masih terhad dari segi operasi.
KESIMPULAN
Secara amnya, sudah dinilai bagaimana dasar luar dan pertahanan Australia dibentuk sejak pertengahan 1970-an untuk kesesuaian keadaan semasa dalam hubungan antarabangsa. Dasar luarnya menekankan beberapa prinsip penting:
- hubungan erat dari aspek strategik dan diplomatik dengan AS
- mempertingkatkan tahap dagangan dengan Negara Asia Timur
- dasar mementingkan penggunaan organisasi multilateral untuk mencapai matlamat dasar luarnya seperti penglibatan dalam APEC dan ARF,
- memainkan peranan secara aktif dalam UN dengan memberi sokongan dalam pelbagai operasi termasuk di Somalia, Cambodia dan Timur Timor
- menjadi suara lantang dalam reformasi hak asasi manusia dan pendemokrasian
- menyokong konvensyen dan perjanjian yang melibatkan pengawalan penggunaan periuk api, usaha membendung ujian nuklear dan pembuatan senjata nuklear serta menyokong konvensyen Senjata Kimia
- usaha mewujudkan perwakilan dan penglibatan diplomatik dan perdagangan di Asia Tengah, negara di kawasan Lautan Hindi dan Kesatuan Eropah.
Melihat satu spektrum pelbagai jenis peranan yang cuba dimainkan Australia, timbul persoalan asas – apakah Australia mampu melakukannya? Hasrat untuk mewujudkan angkatan tentera yang berwibawa dan berkemampuan walhal pada waktu yang sama ingin menjadi ‘warga sistem antarabangsa’ yang pro-aktif dan mampu mempertahankan kepentingan nasionalnya. Sebagai contoh, Australia sering tidak membenarkan isu hak asasi manusia menghalang proses dagangannya. Sememangnya objektif dasar luar dan pertahanan Australia amat bercita-cita tinggi. Tetapi sebagai satu kuasa sederhana, apakah ia mempunyai kemampuan dari segi sumber, kemahiran dan prestij untuk mencapai matlamat dasar luar dan pertahanannya? Inilah yang dipersoalkan – apakah pengertian kemampuan itu sebenarnya mencerminkan kemampuan terhad Australia, terutamanya jika ia terus mahu memainkan peranan besar dalam hal ehwal antarabangsa.

